earth bending - water bending - fire bending - wind bending

7.12.2009

makna Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi

. 7.12.2009


Israiliyyat dalam Kitab TaIfSsLirA A-MnIwYaYrA -BTa 2id6h(a2w) (i2004): 23 - 37 23

MAZLAN IBRAHIM
AHMED KAMEL MOHAMAD
ABSTRAK
Islam merupakan agama yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan
manusia. Sejajar dengan itu, al-Quran diturunkan sebagai kitabullah yang
mempunyai panduan dan hidayah kepada seluruh umat manusia lengkap
dengan segala isi kandungannya sama ada dari segi akidah, ibadah,
perundangan, akhlak, sejarah dan sebagainya. al-Quran dinukilkan secara
mutawatir dan merupakan kitab yang sentiasa dipelihara isi kandungannya
oleh Allah (s.w.t.) daripada diseleweng oleh musuh Allah (s.w.t.). Namun begitu
tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah para pentafsir dahulu atau masa
kini memasukkan beberapa unsur-unsur Israiliyyat di dalam pentafsiran
mereka. Unsur ini banyak dikesan terutamanya dalam menggambarkan perihal
cerita-cerita para nabi dan rasul, dan faktor ini adalah antara penyebab
berlakunya kelemahan dalam Tafsir Ma’thur. Kajian ini cuba menganalisis
kitab tafsir Melayu lama karangan Syeikh Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-
Singkili, yang merupakan antara kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang
dipelajari di surau-surau serta pondok-pondok bukan sahaja di Indonesia
bahkan juga di Malaysia. Kajian ini akan menjelaskan tentang biodata
pengarang terlebih dahulu, dan kemudiannya diikuti dengan pengenalan
kitab dan terakhir ialah analisa terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang
terdapat di dalamnya. Selayaknya kitab ini diberi perhatian dan penumpuan
bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh riwayat-riwayat Israiliyyat
ataupun tidak. Semoga masyarakat yang cintakan al-Quran mampu mendalami
tafsiran-tafsirannya tanpa terpengaruh dengan riwayat-riwayat Israiliyyat
yang batil yang tidak berdasarkan kepada sanad yang sahih.
ABSTRACT
Islam is a perfect religion which is covered all aspects of human life. In respect
to this, al-Quran as kitabullah has been revealed to all mankinds as a guideline
in their life which is cover the aspect of aqidah, ibadah, law, akhlaq, history and
others. Al-Quran is revealed through mutawatir method and is guaranteed by
Allah Almighty from any amendments. However there is exist the mufassiruun
who has moulded their interpretations with Israiliyyat. These elements are
used whenever the mufassiruun explains about the story of the prophets. As a
result of these, the Tafsir Ma’thur is considered very weak. Therefore this
24 Isla-miyya-t 26(2)
article will analyse one of the well-known tafsir which is written in Malay by
Syeikh Abd. al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili namely Tafsir Anwar
Baidhawi. This tafsir is widely circulated among the students in Indonesia’s
and Malaysia’s pondok. The discussion of this book will be devided into three
parts. First, the writer will discuss about the background of Syeikh Abd. Al-
Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili. It follows with the introduction of the kitab.
Finally the writer will analyse the verses which is influenced by the Israiliyyat.
This article comes to the conclusion that a thorough examinations towards the
Malay kitab tafsir should be done intensively in order to ensure that the
Muslims community are not influenced by the Israilliyyat interpretation.
PENDAHULUAN
Al-Quran merupakan satu mukjizat yang sesuai untuk semua zaman, keadaan,
dan juga tempat. Oleh itu, ia memerlukan satu penafsiran yang kukuh untuk
memudahkan orang awam memahami kandungan al-Quran dan seterusnya dapat
menghayati segala isi kandungannya. Penafsiran yang dilakukan tidak berhatihati
akan memudahkan unsur-unsur Israiliyyat dan khurafat memasuki ke dalam
kitab-kitab tafsir. Unsur-unsur Israiliyyat ini menyerap masuk ke dalam kitab
tafsir kerana sikap ambil mudah pentafsir. Mereka terus menukilkan tafsir tanpa
mengira kesahihan cerita tersebut.
Islam adalah agama yang syumul. Segala pengajaran, arahan dan larangannya
adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Sejajar dengan itu, al-
Quran diturunkan sebagai kitabullah yang mempunyai panduan dan hidayah
kepada seluruh umat manusia, lengkap dengan segala isi kandungannya sama
ada dari segi aqidah, ibadah, perundangan, akhlak, sejarah dan sebagainya. Al-
Quran dinukilkan secara mutawatir dan merupakan kitab yang sentiasa dipelihara
isi kandungannya oleh Allah daripada diseleweng oleh musuh-musuh-Nya.
Namun begitu, terdapat sesetengah para pentafsir dahulu atau masa kini yang
memasukkan unsur-unsur Israiliyyat dalam pentafsiran mereka. Unsur-unsur ini
banyak dikesan terutamanya dalam menggambarkan perihal cerita-cerita para
nabi dan rasul. Faktor ini adalah antara penyebab berlakunya kelemahan dalam
tafsir ma’thur.
Artikel ini bertujuan untuk menganalisa kitab tafsir Melayu Tafsir Anwar
Baidhawi karangan Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh
Abdurrauf yang ditafsirkan secara lengkap tiga puluh juzuk. Kitab ini ditulis
dalam bahasa Melayu tulisan Jawi lama. Tafsir ini masih dicetak hingga sekarang.
Ia dicetak dalam tiga penggal, dan yang terbaru sekali ia dicetak hanya dalam
satu jilid tebal. Kitab tafsir ini menjadi pilihan kerana ia merupakan antara kitabkitab
tafsir berbahasa Melayu yang dipelajari di surau-surau, masjid-masjid serta
pondok-pondok di Malaysia. Kitab ini wajar diberi perhatian dan penumpuan
bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh kisah-kisah Israiliyyat ataupun
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 25
tidak. Artikel ini bertujuan membincangkan tafsiran-tafsiran al-Quran secara
terperinci, tanpa terpengaruh dengan kisah-kisah Israiliyyat yang tidak
berdasarkan kepada sanad yang sahih.
PENGERTIAN ISRAILIYYAT
Perkataan Israiliyyat adalah diambil daripada kata jamac. Mufradnya adalah
diambil daripada kata Israiliyyah, yang dinisbahkan kepada Bani Israil (keturunan
Israil). Manakala Israil pada asalnya adalah nama Nabi Allah Yaakob (a.s.) yang
membawa maksud Abdullah atau hamba Allah. Bani Israil atau keturunan Israil
ialah keturunan Nabi Yaakob (a.s.) yang berkembang hingga kepada Nabi Musa
(a.s.) dan seterusnya nabi-nabi yang datang silih berganti, sehinggalah
keturunannya yang terakhir iaitu Nabi Isa (a.s.).
Keturunan Nabi Yaakob (a.s.) atau Bani Israil sejak beberapa zaman yang
lalu dikenali dengan panggilan Yahudi. Keturunan yang beriman kepada Nabi
Isa (a.s.) pula dikenali dengan nama Nasara atau Nasrany. Manakala yang beriman
dengan Nabi Muhammad (s.a.w.) pula telah menjadi sebahagian daripada umat
Islam dan dikenali dengan Muslim ahl al-Kitab (Abu Syaybah 1408: 12).
Israiliyyat menurut istilah ahli tafsir ialah kisah-kisah Yahudi yang menyerap
masuk ke dalam masyarakat Islam melalui tafsir al-Quran yang banyak berlaku di
zaman tabi’in. Namun ulama tafsir dan hadith menggunakan istilah Israiliyyat
terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama
yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan
hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disampai
oleh musuh-musuh Islam ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan
kesucian Islam (al-Dhahabi 1990: 13).
RIWAYAT ISRAILIYYAT
Secara umumnya, riwayat Israiliyyat boleh dibahagikan kepada tiga bahagian;
1. Israiliyyat yang sahih dan bertepatan dengan nas-nas al-Quran dan al-
Sunnah. Israiliyyat daripada bahagian ini harus diriwayatkan berdasarkan
Hadith Nabi (s.a.w.) yang bermaksud (al-Bukhari t.th., 1: 258):
Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat. Perkatakanlah tentang kisah-kisah
Bani Israil dan ianya bukan menjadi satu kesalahan. Dan sesiapa berdusta terhadapku
maka disediakan baginya tempat di dalam neraka.
2. Israiliyyat yang bercanggah dengan nas yang Qatci daripada al-Quran dan
juga al-Sunnah, serta menyalahi lojik akal. Israiliyyat daripada bahagian ini
tidak harus diriwayatkan.
26 Isla-miyya-t 26(2)
3. Israiliyyat yang ‘Maskut cAnhu’ iaitu yang tidak disokong oleh nas al-
Quran dan juga al-Sunnah iaitu ia bukan dari bahagian pertama dan juga
bahagian kedua. Bahagian ini tidak perlu kita membenarkannya dan
tidak juga mendustakannya. Tetapi harus diriwayatkannya (al-Zahabi t.th.,
1: 178).
PENGARUH ISRAILIYYAT KE ATAS KITAB TAFSIR
Kemasukan Israiliyyat ke dalam tafsir bermula dengan kemasukan thaqafah
(peradaban) Bani Israil (yang berhijrah ke Semenanjung Arab) ke dalam thaqafah
Arabiyyah di zaman Jahiliyyah. Bangsa Yahudi ini membawa bersama-sama
mereka ilmu-ilmu dan pengetahuan yang diambil daripada kitab-kitab agama
mereka, dan segala perkara yang berkaitan dengannya daripada huraian-huraian,
dan juga yang mereka warisi daripada satu generasi ke satu generasi daripada
nabi-nabi mereka dan pendita-pendita mereka. Mereka mempunyai tempat yang
dinamakan al-midras iaitu sekolah-sekolah tempat mereka mempelajari setiap
perkara yang diwarisi. Mereka juga mempunyai tempat-tempat ibadah dan syiar
agama mereka.
Kemudian, datang ajaran Islam dan kitab Allah (s.w.t.) yang terkandung di
dalamnya ilmu dan agama. Seruan Islam lahir dan tersebar di kalangan penduduk
Semenanjung Arab. Pada zaman Rasulullah (s.a.w.) pusat negara Islam adalah
Madinah al-Munawwarah. Untuk mendidik para sahabat, majlis-majlis ilmu pada
zaman Rasulullah (s.a.w.) ini dilakukan di Masjid Madinah. Di kota Madinah dan
di sekitarnya tinggal bermukim beberapa golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’,
Bani Quraizah, Bani al-Nadir, Yahudi Khaibar, Taima’ dan Fadak.
Terdapat di kalangan ulama Yahudi atau ahli Kitab di Madinah yang memeluk
Islam seperti Abdullah b. Salam (r.a.). Beliau dan orang sepertinya menjadi tempat
rujukan kepada sahabat untuk bertanya secara terperinci tentang kisah-kisah
yang sama yang juga disebut di dalam kitab-kitab al-Quran dan Taurat. Namun
para sahabat tidak menerima bulat-bulat apa yang diceritakan kepada mereka.
Malah mereka menapisnya dengan akal dan juga syarak. Mereka hanya menerima
apa yang diterima oleh akal dan syarak dan menolak sekiranya bercanggah dengan
keduanya. Seterusnya mereka berdiam diri terhadap perkara-perkara yang tidak
jelas tentang benar dan salahnya.
Ibn Khaldun (1968, 1: 786-787) menyatakan apabila timbul keinginan di
kalangan orang-orang Arab untuk mengetahui tentang permulaan kejadian
makhluk dan rahsia kejadian, mereka cenderung bertanya ahli kitab dari kalangan
Yahudi dan Nasrani. Majoriti mereka adalah dari suku bangsa Humair. Apabila
mereka memeluk Islam, pengaruh daripada ajaran agama mereka yang berkaitan
dengan asal kejadian makhluk, cerita-cerita tentang peperangan dan sebagainya
masih kuat dalam diri mereka. Antara golongan mereka ialah Ka’ab b. al-Ahbar,
Wahab b. Munabbih, dan Abdullah b. Salam. Kerana inilah cerita-cerita Israiliyyat
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 27
yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan riwayat-riwayat daripada
mereka.
PENGARUH ISRAILIYYAT TERHADAPAQIDAH UMAT ISLAM
Terdapat sebahagian daripada kisah-kisah Israiliyyat yang boleh menyebabkan
kekeliruan dan mengganggu kemurnian ajaran Islam. Antara kisah-kisah tersebut
ialah yang berbentuk dongeng dan khurafat, yang bersalahan dengan akal dan
syarak. Kisah-kisah ini boleh mengakibatkan kesan berikut;
1. Dalam Israiliyyat terdapat unsur penafian terhadap sifat maksum para anbiya’
dan mursalin, dan menggambarkan mereka menolak kelazatan dan kenikmatan
pemberian Tuhan kepada kekejian dan keaiban yang tidak layak bagi manusia
biasa, sebagai anugerah Tuhan kerana dilantik menjadi nabi. Sebagai contoh
apa yang digambarkan oleh kisah Israiliyyat tersebut terhadap apa yang
menimpa Nabi Allah Ayub (a.s.).
2. Israiliyyat hampir-hampir menghilangkan kepercayaan umat Islam terhadap
sebahagian ulama salaf dari kalangan sahabat dan Tabi’in. Bukan sedikit
dongeng Israiliyyat yang disandarkan riwayatnya kepada segolongan
daripada salafus salih yang terkenal dengan kepercayaan orang dan
keadilannya. Mereka juga terkenal di kalangan orang-orang Islam dengan
tafsir dan Hadith. Antara yang ditohmah ialah Abu Hurairah, Abdullah bin
Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabih.
3. Israiliyyat juga hampir-hampir memalingkan manusia dari tujuan asal
penurunan al-Quran dan melalaikan mereka daripada meneliti dan memahami
maksud ayat-ayat al-Quran, lalai daripada mengambil manfaat dan iktibar,
serta nasihat-nasihat yang terkandung di dalamnya atau membahaskan
tentang hukum-hukum yang terdapat di dalamnya. Memalingkan mereka
kepada perkara sia-sia yang tiada kebaikan padanya. Contohnya membahaskan
warna anjing Ashabul Kahfi dan namanya, tentang tongkat Nabi
Musa (a.s.), daripada pokok apakah ianya dibuat, tentang nama budak kecil
yang dibunuh oleh Khidir dan sebagainya.
Inilah antara kesan terhadap aqidah umat Islam dan juga terhadap kesucian
ajaran Islam hasil daripada riwayat Israiliyyat. Kaum Yahudi berusaha dengan
bersungguh-sungguh untuk merosakkan aqidah umat Islam dan melemahkan
kepercayaan mereka terhadap pegangan suci mereka terhadap al-Quran dan al-
Sunnah. Mereka juga berusaha untuk menggoncang kepercayaan umat Islam
terhadap Salafussoleh yang telah berperanan untuk memikul risalah umat Islam
dan menyebarkannya ke setiap penjuru Timur dan Barat. Oleh itu, umat Islam
seharusnya memberi perhatian dan mengambil berat terhadap penyerapan
Israiliyyat dalam tafsir-tafsir dan menghapuskannya (al-Dhahabi 1990: 29-34).
28 Isla-miyya-t 26(2)
PENULIS TAFSIR
Abd. al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh Abdurrauf Sheikhkuala,
merupakan seorang tokoh agama, ahli tasawuf, negarawan dan karyawan. Beliau
dilahirkan di Singkel, utara Fansur (Pantai Barat Sumatera). Mengenai tarikh
kelahiran beliau tersebut, terdapat beberapa riwayat yang berbeza. Ada yang
menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1001H/1592M, ada yang
menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada 1024H/1615M, dan ada yang
menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1029H/1620M. Bagaimanapun,
tidak terdapat percanggahan tentang tarikh wafatnya iaitu beliau meninggal
dunia pada tahun 1106H/1695M di Kuala Sungai Aceh (Mahayuddin 1986: 44).
Abd. al-Rauf mendapat pendidikan awal daripada bapanya, Sheikh Ali al-Fansuri
sehingga beliau menguasai ilmu-ilmu asas agama dan bahasa Arab. Abd. al-
Rauf turut berguru dengan bapa saudaranya, Sheikh Hamzah Fansuri di Dayah
Oboh Simpang Kiri (Singkel) dan dengan Sheikh Shamsuddin Sumarani di Pasai.
Beliau melanjutkan pelajarannya ke Semenanjung Tanah Arab iaitu di Makkah,
Madinah, Yamman, Baitulmaqdis dan Istanbul. Dalam tempoh hampir dua puluh
tahun di luar negeri, Abd. al-Rauf telah mempelajari pelbagai ilmu seperti fikah,
hadith, tafsir, mantiq, falsafah, geografi, ilmu falak, ilmu tauhid, sejarah dan
perubatan. Di samping itu, beliau mempelajari ilmu tasawuf mengikut tarekat
Shattariyyah dan tarekat Qadariyyah sehingga beliau dikurniakan ijazah daripada
dua tarekat tersebut. Dengan itu, beliau dikurniakan gelaran “Sheikh” yang
bermaksud “pemimpin tarekat” (Mahayuddin 1986: 45).
Pada bulan Rabiulawal 1071H/1661M Abd. al-Rauf dilantik menjadi Kadi
Malikul Adil atau Mufti Kerajaan Aceh Darussalam pada zaman pemerintahan
Ratu Safiatuddin dan kekal dengan jawatan itu hingga ke zaman Sultanah Sri
Ratu Kamalatuddin Shah (1098H/1688M-1109H/1699M). Beliau banyak
menghasilkan buku, antaranya ialah kitab cUmdah al-Ahkam mengenai hukumhukum
Islam; al-Tarjuman al-Musafid atau Tafsir Anwar Baidhawi, tafsir al-
Quran yang pertama dalam bahasa Melayu; Bayan Tajalli, yang membahas
masalah falsafah ketuhanan, iaitu faham wahdah al-wujud yang berdasarkan
manusia dan martabat tujuh sebagai gambaran Tuhan yang ditentang oleh Abd.
al-Rauf; Daqa’iq al-Huruf, mengenai rahsia-rahsia huruf; Shicr Macrifah,
kumpulan sajak yang membahas masalah ketuhanan, dan Hidayah al-Balaghah
cala Jumcat al-Mukhasamah, iaitu kitab hukum Islam mengenai sengketa. Bagi
mengenang jasa beliau yang begitu besar dalam bidang pendidikan, pada 2
September 1961 namanya telah diabadikan menjadi nama sebuah universiti di
Darussalam iaitu Universiti Sheikhkuala (Mahayuddin 1986: 44-46).
Abdul Malik Abdul Karim (Hamka) (1999 1: 24) telah menyentuh mengenai
ketokohan Shaykh Abdul Rauf Fansuri dalam pendahuluan kitab tafsir beliau,
Tafsir al-Azhar. Beliau menyatakan:
Bahawa usaha menterjemah dan mentafsirkan al-Quran menerusi penulisan Tafsir al-
Azhar ialah sebagai menyambung dan meneruskan usaha yang telah dirintis oleh para
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 29
ulama terdahulu, termasuk kitab tafsir yang ditulis oleh Shaykh Abdul Rauf Fansuri pada
abad ke-11H/17M.
TARJUMAN AL-MUSTAFID
Tarjuman al-Mustafid adalah sebuah kitab terjemahan yang dilakukan oleh
Shaykh Abdul Rauf terhadap kitab tafsir Arab berjudul Tafsir Anwar al-Tanzil
wa Asrar al-Ta’wil, karangan Imam al-Qadi al-Baydawi. Ia juga mungkin
merupakan terjemahan daripada Tafsir Jalalayn.
Setelah penelitian dibuat terhadap kedua-dua kitab tafsir tersebut, didapati
banyak perbezaan. Hasil penelitian menunjukkan bahawa Abd. al-Rauf tidak
menterjemah keseluruhan kitab Tafsir Anwar al-Tanzil karya al-Baydawi , tetapi
ia dijadikan sebagai rujukan utama beliau, di samping kitab-kitab tafsir lain seperti
Tafsir al-Khazin dan Tafsir al-Jalalayn.
Pendapat ini dikuatkan lagi dengan kenyataan seorang daripada penyunting
kitab tafsir ini sendiri, iaitu Shaykh Ahmad al-Fatani dalam cetakan pertama.
Beliau berkata “inilah yang dinamakan Tarjuman al-Mustafid bi al-Jawi yang
diterjemahkan dengan bahasa Jawi yang diambil sesetengah maknanya dari Tafsir
al-Baydawi (Wan Mohd. Shaghir 2001: 160). Kenyataan Shaykh Ahmad ini
menunjukkan pihak penyunting sendiri telah menggunakan lafaz ‘sesetengah’
yang membawa maksud bukan semua isi kandungan kitab Shaykh Abdul Rauf
Fansuri telah disalin dan diterjemah daripada kitab Tafsir Anwar al-Tanzil karya
al-Baydawi.
Sebagai penulis tafsir paling awal di Nusantara, karya beliau tersebar ke
seluruh wilayah Melayu-Indonesia. Bahkan cetakan edisinya diedar sehingga
ke Afrika Selatan. Cetakan edisi-edisinya tidak hanya diterbitkan di Singapura,
Penang, Jakarta dan Bombay tetapi juga diterbitkan di Timur Tengah. Disebabkan
Tarjuman Mustafid diterbitkan di Timur Tengah maka ia mencerminkan ketinggian
nilai karya ini serta ketinggian intelektual al-Singkili. Edisi terakhir beliau diterbitkan
di Jakarta pada tahun 1981 (Azyumardi Azra Mizan 1995: 203).
Abd. al-Rauf banyak memberi sumbangan kepada perkembangan tafsir al-
Quran di Nusantara. Beliau meletakkan dasar bagi batasan antara tarjamah dan
tafsir. Ini mendorong beliau menelaah dengan lebih mendalam karya-karya tafsir
dalam bahasa Arab. Tafsir Tarjuman al-Mustafid merupakan satu-satunya tafsiran
lengkap al-Quran di Tanah Melayu selama tiga abad, sebelum munculnya tafsirtafsir
baru di wilayah Melayu Indonesia. Namun ini tidak bererti tafsir tersebut
telah kehilangan daya tarikannya.
ISRAILIYYAT DALAM KITAB TAFSIR ANWAR AL-BAIDHAWI
Artikel ini melihat satu sudut sahaja daripada kandungan kitab ini, iaitu yang
berkaitan dengan riwayat-riwayat Israiliyyat. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang
bertentangan dengan akal dan syarak boleh mengurangkan nilai tafsiran tersebut
30 Isla-miyya-t 26(2)
kerana ia tidak diperlukan dalam memahami ayat. Lebih daripada itu, ia boleh
merosakkan pemikiran umat Islam khususnya mereka yang membaca tafsir-tafsir
yang mengandungi riwayat-riwayat Israiliyyat tersebut. Artikel ini juga
mengemukakan riwayat-riwayat Israiliyyat yang terdapat di dalam tafsiran ini
sebagai satu usaha bagi memudahkan kalangan pembaca bagi membezakan
antara tafsiran al-Quran yang sebenar dengan riwayat Israiliyyat.
BEBERAPA KISAH ISRAILIYYAT DALAM TAFSIR
Antara kisah-kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab Tafsir Anwar Baidhawi
ialah:
1. Kisah Talut dan Jalut Kisah ini diceritakan oleh Allah (s.w.t.) dalam al-
Quran bermaksud:
Dan nabi mereka berkata lagi kepada mereka: Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu ialah
datangnya kepada kamu peti tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi)
ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan
oleh keluarga nabi-nabi Musa dan Harun, peti tabut itu dibawa oleh oleh malaikat,
sesungguhnya peristiwa kembalinya tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi
kamu, jika benar kamu orang yang beriman (al-Baqarah 2: 248).
Abd. Rauf Fansuri mentafsirkan ayat ini dengan katanya (al-Fansuri t.th.: 7):
Dan telah berkata bagi mereka itu Nabi mereka itu tatkala dituntut mereka itu daripadanya
tanda atas kerajaan Thalut itu bahawasanya tanda kerajaannya bahawa didatangkan akan
kamu suatu peti di dalamnya ketetapan bagi segala hati kamu daripada Tuhan kamu dan
yang mati daripada peninggalan Musa dan Harun pada hal menanggung akan dia segala
malaikat. Tersebut di dalam Khazin adalah peti itu di dalamnya rupa segala nabi yang
diturunkan Allah Taala ia atas Adam maka turun temurun hingga datang kepada Musa dan
adalah mereka itu menuntut kemenangan pada Allah Taala dengan berkat peti itu atas
seteru mereka itu dan dihantarkan mereka itu peti itu di hadapan mereka itu maka tatap
(melihat) mereka itu kepadanya tatkala perang dan ditaruh di dalamnya oleh Musa,
Taurat dan mata bendanya di taruh Harun di dalamnya tengkoloknya maka tatkala mati
Musa tinggalah peti itu pada padang maka tatkala ditentu oleh mereka itu akan tanda
kerajaan Thalut maka ditengking akan dia oleh malaikat antara langit dan bumi pada hal
mereka itu menilik kepadanya hingga dihantarkan malaikat akan peti itu pada Thalut
maka percayalah mereka itu akan kerajaan Thalut.
Tafsiran ini jelas menunjukkan terdapatnya unsur-unsur Israiliyyat. Ini dapat
dilihat menerusi tafsiran ayat yang dilakukan oleh pengarang mengenai kerajaan
Talut. Dalam al-Quran, Allah (s.w.t.) ada menceritakan tentang kerajaan Talut,
dan peti Tabut. Peti Tabut ini diceritakan sebagai tempat menyimpan kitab Taurat,
tetapi tidaklah sampai kepada mempunyai segala nama dan rupa nabi-nabi dari
Adam (a.s.) hingga Musa (a.s.).
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 31
Kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an juga mentafsirkan ayat tentang kerajaan
Talut. Dalam kitab tafsir Fi Zilal al-Qur’an ini, diceritakan bahawa malaikat
membawa peti yang berisi kitab Taurat kepada Talut. Peti tersebut ialah peninggalan
daripada keluarga Nabi Musa (a.s.) dan Harun (a.s.). Apabila Nabi Musa (a.s.)
wafat, pihak musuh mengambil peti tersebut. Terdapat juga pendapat yang
menyatakan bahawa peti yang mengandungi naskah Taurat itu adalah pemberian
daripada Allah Taala kepada Nabi Musa (a.s.) di Bukit Tur (Sayyid Qutb 1972:
268).
2. Kisah Nabi Sulaiman (a.s.) dengan Puteri Balqis Firman Allah (s.w.t.)
dalam al-Quran bermaksud:
Setelah itu dikatakan kepadanya, dipersilakan masuk ke dalam istana ini. Maka tatkala ia
melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta iapun menyingsingkan
pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata, sebenarnya ini adalah sebuah istana
yang diperbuat licin berkilat dari kaca. Mendengar yang demikian, Balqis berdoa: Wahai
Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan sekarang aku menegaskan
bahawa aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman kepada Allah
Tuhan sekalian alam (al-Naml 27: 44).
Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi mentafsirkan maksud ayat ini
dengan menyatakan:
Tatkala dikhabarkan oleh jin kakinya seperti kaki keldai maka disuruh Sulaiman segala
syaitan berbuat halaman dari kaca supaya dicubainya dengan tiada menyuruh membukakan
kainnya maka tatkala disumbatkan oleh Balqis kainnya maka tahulah ia akan baik kakinya
(al-Fansuri t.th.: 305).
Selain daripada itu, pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi ini juga
menyatakan bahawa:
Tatkala berkehendak kepada Sulaiman mengahwin dia maka benci ia akan bulu betisnya
dan dibubuh oleh segala syaitan baginya kapur maka dihilangkannya ia dengan dia… (al-
Fansuri t.th.: 305).
Sayyid Qutb (1974: 150-151) mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan
bahawa apabila Puteri Balqis tiba di istana Nabi Sulaiman, maka baginda pun
dipersilakan masuk. Perkara yang memeranjatkan Balqis ialah keadaan istana
tersebut yang diperbuat daripada kaca. Lantai istana itu dibina di atas air, dan ini
membuatkan ia kelihatan seakan-akan seperti sebuah kolam air. Oleh kerana
baginda menyangka bahawa baginda akan mengharungi sebuah kolam, baginda
pun menyingsingkan kainnya. Keadaan ini menyebabkan Nabi Sulaiman
menjelaskan rahsianya dengan berkata: “Sesungguhnya istana ini adalah sebuah
istana yang dibuat dengan cara yang halus iaitu dari bahan kaca”.
Ibn Kathir (1966: 238-239) pula menjelaskan bahawa ketika Puteri Balqis
dipersilakan masuk ke dalam istana yang lantainya diperbuat daripada kaca dan
kelihatan seperti sebuah kolam air, baginda masuk sambil menyingkapkan kainnya.
Setelah itu Nabi Sulaiman (a.s.) pun berkata: “Sesungguhnya bukanlah air yang
32 Isla-miyya-t 26(2)
engkau pijak, lantai ini sangat licin kerana diperbuat daripada kaca”. Puteri Balqis
yang sangat kagum dengan struktur binaan istana tersebut, kemudiannya memeluk
Islam.
Manakala menurut al-Maraghi (1974: 144-145), sebelum ketibaan Balqis,
Sulaiman telah menyuruh bala tenteranya untuk membina sebuah istana besar
yang lantainya diperbuat dari kaca putih yang licin. Di bawahnya terdapat air
yang mengalir dengan pelbagai ikan dan lain-lain. Apabila Balqis tiba, Sulaiman
menyambutnya di istana dan duduk di ruang tengah. Ketika Balqis hendak
mendekati Sulaiman, Balqis menyangka lantai itu adalah air. Lalu Balqispun
menyingsingkan kainnya supaya pakaiannya tidak basah seperti mana yang
biasa dilakukan oleh orang yang menyeberangi air. Ketika itu Sulaiman pun
berkata kepada Balqis: “Sesungguhnya apa yang kamu sangkakan air itu bukanlah
air, tetapi ia adalah sebuah istana yang diperbuat daripada kaca”. Balqis segera
menutupi betisnya dan beliau berasa amat kagum dengan ciptaan itu. Setelah
itu, barulah Balqis menyedari bahawa ada lagi kerajaan lain yang lebih berkuasa
dari kerajaannya. Sulaiman lantas menyeru Balqis supaya menyembah Allah dan
meninggalkan penyembahan selain daripada-Nya.
Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi didapati mentafsirkan ayat 44, surah
al-Naml dengan menyatakan bahawa jin telah mengkhabarkan kepada Sulaiman
tentang kaki Puteri Balqis adalah seperti kaki keldai. Sulaiman lantas
memerintahkan para syaitan supaya membina sebuah halaman dalam istana yang
seakan-akan sebuah kolam air supaya Sulaiman dapat memastikan kebenaran
cerita itu. Apabila Balqis berjalan di atas halaman yang dibina itu sambil
menyingsingkan kainnya, maka Sulaiman mendapati kaki Balqis sebenarnya
berkeadaan baik. Menurut riwayat ini juga, ketika Balqis menyingsing kainnya
itu, Sulaiman terpandang akan bulu betisnya. Sulaiman tidak suka melihatnya
lalu syaitan menghilangkannya dengan kapur.
Apabila riwayat Tafsir Anwar Baidhawi ini dibandingkan dengan pendapat
para ahli tafsir seperti al-Fansuri, Sayyid Qutb, Ibn Kathir dan al-Maraghi, didapati
tidak ada satu pun tafsiran daripada ahli tafsir yang menyentuh tentang perkara
ini apatah lagi membenarkannya. Tafsiran para ahli tafsir didapati hanya
menjelaskan tentang kekaguman Balqis terhadap istana yang dibina oleh Nabi
Sulaiman (a.s.). Rasa kagum ini melahirkan keinsafan dan telah menyedarkan
Balqis bahawa ada lagi kuasa lain yang lebih hebat daripada kekuasaannya.
Fenomena ini akhirnya membawa Balqis kepada Islam. Kisah yang menyatakan
bahawa Balqis menyingkap kainnya ketika berjalan di dalam istana Sulaiman
kerana menyangka beliau sedang menyeberangi sebuah kolam air juga adalah
diakui kebenarannya oleh para ahli tafsir.
Bagaimanapun, tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa ketika Balqis
menyingsing kainnya, Sulaiman telah terpandang bulu betis Balqis dan
membencinya serta tidak ada juga riwayat yang menjelaskan bahawa kaki Balqis
adalah seperti kaki keldai seperti yang didakwa oleh pengarang kitab Tafsir
Anwar Baidhawi.
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 33
3. Kisah Nabi Syu’aib (a.s.) dan Nabi Musa (a.s.) Firman Allah (s.w.t.) dalam
al-Quran bermaksud:
Musa menjawab, perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama)
yang mana sahaja dari dua tempoh itu aku tunaikan, maka janganlah aku disalahkan. Dan
Allah jualah menjadi pengawas di atas apa yang kita katakan (al-Qasas 28: 28).
Pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi didapati mentafsirkan ayat 28, surah
al-Qasas ini dengan satu kisah, iaitu: Menurut kata mufassir, setelah selesainya
akad Nabi Shu’aib (a.s.) telah menyuruh anak perempuannya memberi kepada
Nabi Musa (a.s.) satu tongkat untuk menyelamatkan baginda daripada segala
binatang yang buas ketika menjaga kambing. Pengarang kitab Tafsir Anwar
Baidhawi ini juga didapati meriwayatkan bahawa tongkat semua nabi berada
pada tangan Nabi Shu’aib. Manakala tongkat yang berada pada anak perempuan
Nabi Shu’aib (a.s.) adalah tongkat Nabi Adam (a.s.) yang diperbuat daripada
sejenis kayu, yang bernama As Asol yang diambil daripada syurga, kemudian
diambil oleh Nabi Musa (a.s.) dengan pengetahuan Nabi Shu’aib (al-Fansuri
t.th.: 320).
Apabila dirujuk kepada kitab-kitab yang peka terhadap persoalan Israiliyyat,
seperti Sayyid Qutub (1974: 58-59), di dapati beliau mentafsirkan ayat 28, surah
al-Qasas ini dengan menyatakan bahawa apabila Nabi Musa (a.s.) menerima
tawaran dan perjanjian itu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Nabi
Syu’aib (a.s.), maka Nabi Musa (a.s.) pun berkata: “Dan mana-mana sahaja
daripada dua tempoh kerja itu saya tunaikan maka hendaklah tidak ada apa-apa
tuntutan yang lain lagi ke atas saya. Dan Allah juga yang menjadi saksi di atas
apa yang kita katakan ini”. Ertinya apabila cukup tempoh selama lapan tahun
Nabi Musa (a.s.) bekerja maka hendaklah tidak ada lagi tuntutan yang lain
melebihi tugas-tugas kerja tersebut kerana kerja yang lebih itu hanyalah
merupakan kerja sukarela sahaja. Nabi Musa (a.s.) telah membuat penjelasan ini
sesuai dengan kejujuran hatinya dan ketegasan sahsiahnya, sedangkan beliau
sendiri telah berniat untuk menunaikan kerja yang lebih baik.
Ibn Kathir (1966: 274) pula menyatakan bahawa di dalam ayat sebelumnya
iaitu ayat 27, surah al-Qasas, Nabi Syu’aib telah menerima cadangan puterinya
supaya mengambil Musa (a.s.) bekerja dengan baginda, lalu Nabi Syu’aib (a.s.)
pun memanggil Nabi Musa (a.s.) dan berkata:
Wahai Musa, aku ingin mengahwinkan engkau dengan salah seorang daripada puteriku ini
dengan mas kahwinnya engkau hendaklah bekerja denganku selama lapan tahun. Jika
engkau hendak memanjangkan tempoh kerjamu selama sepuluh tahun, maka itu aku
anggap sebagai kerja sukarela dan aku tidak memaksa.
Kemudian dalam ayat 28, surah al-Qasas ini, Nabi Musa (a.s.) menjawab:
Aku menerima tawaranmu ini dengan perjanjian sebagaimana yang engkau tetapkan iaitu
bekerja selama lapan tahun dan sekiranya aku bersetuju, aku boleh memanjangkan masa
kerjaku sehingga sepuluh tahun. Allahlah yang menjadi saksi atas apa yang telah kita
ucapkan.
34 Isla-miyya-t 26(2)
Al-Maraghi (1974: 52-53) dalam mengutarakan pendapatnya berhubung
maksud ayat 28, surah al-Qasas ini menyatakan bahawa Nabi Musa (a.s.) telah
berkata:
Apa yang engkau syaratkan kepadaku adalah untukmu dan apa yang engkau syaratkan
kepadaku untuk mengahwini di antara salah seorang daripada puterimu adalah untukku.
Kita masing-masing tidak boleh keluar dari syarat yang telah kita persetujui ini”. Kemudian
Nabi Musa (a.s.) menyambung lagi: “Apabila aku telah menyempurnakan lapan atau
sepuluh tahun untuk mengembala kambing, itu bermakna aku telah menyempurnakan
syaratmu. Oleh itu, engkau tidak berhak yang lebih daripada itu. Dan sesungguhnya
Allahlah yang menjadi saksi kepada perjanjian kita.
Dalam mentafsirkan ayat 28, surah al-Qasas ini, para ahli tafsir tidak pernah
menyebut tentang adanya tongkat yang diberikan oleh anak perempuan Nabi
Syu’aib (a.s.) kepada Nabi Musa (a.s.). Apatah lagi tentang asal-usul tongkat
tersebut yang dikatakan salah satu daripada tongkat nabi-nabi dan berasal dari
syurga. Al-Quran hanya menceritakan tentang akad perjanjian yang berlaku di
antara Nabi Syu’aib (a.s.) dan Nabi Musa (a.s.). Dalam perjanjian tersebut, Nabi
Syu’aib telah berjanji akan mengahwinkan Nabi Musa (a.s.) dengan salah seorang
daripada anak perempuannya sekiranya Nabi Musa (a.s.) bersetuju untuk bekerja
selama lapan tahun bersama baginda dan syarat ini dipersetujui oleh Nabi Musa
(a.s.).
4. Kisah Nabi Musa (a.s.) dengan Firaun Firman Allah dalam al-Quran yang
bermaksud:
Dan Firaun pula berkata, hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu
Tuhan selain daripadaku. Oleh itu wahai Hamman, bakarkanlah untukku batu-bata serta
binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku boleh naik untuk melihat Tuhan Musa
yang dikatakan itu. Dan sesungguhnya aku percaya Musa daripada kalangan orang-orang
yang berdusta (al-Qasas 28: 38).
Al-Fansuri telah mentafsirkan ayat 38, surah al-Qasas ini dengan katanya:
Tersebut di dalam al-Khazin, tatkala selesailah mereka membina mahligai (tangga) seperti
yang disuruh itu, maka naiklah Firaun ke atas dan disuruhnya panah ke langit. Setelah
anak panah itu kembali kepadanya, didapati anak panah itu berlumuran dengan darah
dan Firaun mengatakan bahawa beliau telah membunuh Tuhan Musa (al-Fansuri t.th.:
322).
Dalam mentafsirkan ayat 38, surah al-Qasas ini, pengarang kitab Tafsir Anwar
Baidhawi menyatakan bahawa ketika Nabi Musa (a.s.) menyeru Firaun kepada
Islam, Firaun telah mempersendakan kata-kata Nabi Musa (a.s.). Dalam usaha
untuk menimbulkan keraguan terhadap kebenaran kata-kata Nabi Musa (a.s.),
beliau telah memerintahkan pembesarnya yang bernama Hamman supaya
membina sebuah binaan yang tinggi menjulang ke langit untuk mencari Tuhan
Nabi Musa (a.s.). Setelah itu, Firaun menaiki tangga tersebut lalu memanah ke
langit. Menurut riwayat ini lagi, apabila anak panah itu kembali kepadanya, anak
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 35
panah tersebut dipenuhi dengan darah. Firaun kemudian mendakwa bahawa
beliau telah membunuh Tuhan Nabi Musa (a.s.).
Cerita ini jelas bertentangan dengan tafsiran yang dibuat oleh para ahli
tafsir yang muktabar. Menurut tafsiran mereka, ayat 38, surah al-Qasas ini adalah
menceritakan tentang keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan
serta berlaku zalim terhadap rakyatnya. Justeru itu, apabila Nabi Musa (a.s.)
mendakwa ada Tuhan selain daripadanya, dia berasa tercabar lalu memerintahkan
pembesarnya untuk membina sebuah binaan yang tinggi menjulang ke langit.
Tujuannya adalah untuk mencari Tuhan Nabi Musa (a.s.). Sebenarnya, katakata
Firaun ini bukanlah menunjukkan kesungguhannya melainkan sekadar hanya
untuk mempersendakan Tuhan Nabi Musa (a.s.) dan pada masa yang sama
bertujuan untuk menimbulkan keraguan di kalangan rakyatnya terhadap
kebenaran dakwaan Nabi Musa (a.s.).
Namun begitu, tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa Firaun telah
naik ke langit untuk mencari Tuhan Nabi Musa (a.s.) dan memanah ke langit lalu
apabila anak panah itu kembali kepada Firaun, anak panah itu berlumuran darah
sebagaimana yang didakwa oleh pengarang kitab Tafsir Anwar Baidhawi. Hal
ini jelas membuktikan kepalsuan cerita ini.
Sayyid Qutb (1974: 67) dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa
Allah telah menceritakan tentang Firaun yang telah menyeru kepada pembesarnya
dengan menyatakan: “Wahai pembesar-pembesarku, setahu aku kamu tidak
mempunyai Tuhan yang lain selain daripadaku”. Kata-kata Firaun ini
berlandaskan kisah dongeng yang terkenal di Mesir dalam menghubungkan
raja-raja dengan tuhan-tuhan dan juga berdasarkan kuasa paksaan yang tidak
membenarkan para hambanya berfikir dan bercakap. Mereka sedar bahawa Firaun
hanya seorang manusia sama seperti mereka yang akan hidup dan mati, namun
apabila Firaun mengeluarkan kata-kata seperti ini, mereka hanya mampu
mendengar tetapi tidak mampu membantah.
Kemudian dia berpura-pura menunjukkan kesungguhan hendak mengetahui
hakikat yang sebenar dengan mencari Tuhan Musa (a.s.), sedangkan tujuannya
yang sebenar adalah untuk mengejek dan menyenda. Katanya: “Wahai Hamman!
Bakarlah untukku tanah liat, kemudian binakan untukku satu bangunan yang
tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa di langit”. Kemudian dengan
kata-kata mengejek pula dia berpura-pura meragui kebenaran Musa, tetapi dia
terus mencari dan menyiasat untuk mendapatkan hakikat sebenar.
Menurut pendapat Ibn Kathir (1966: 282-283 ) pula, ayat 38, surah al-Qasas
ini menjelaskan tentang gaya hidup Firaun yang sombong dan kejam terhadap
rakyatnya. Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengingkari kenabian Nabi
Musa (a.s.) dan menganggap dirinya sebagai Tuhan yang wajib disembah oleh
manusia. Beliau berkata:
Wahai sekalian rakyatku, aku tidak mengetahui dan mengenal Tuhan bagimu selain aku
dan aku telah memerintahkan kepada Hamman supaya membina sebuah gedung yang
tinggi menjulang ke langit agar aku dapat melihat Tuhan Musa. Aku yakin bahawa dia
36 Isla-miyya-t 26(2)
adalah seorang pendusta yang mengatakan ada Tuhan selain aku serta menyuruh sekelian
kamu menyembah Tuhannya itu.
Dalam pada itu, al-Maraghi berpendapat bahawa kata-kata Firaun itu secara
zahirnya menunjukkan kebijaksanaannya. Beliau berharap dengan kata-kata itu
rakyatnya akan menerima dirinya sebagai Tuhan. Ada dua kalimah yang
diucapkan oleh Firaun iaitu: “Aku tidak mengetahui ada Tuhan bagi kalian selain
aku” dan “Akulah Tuhan kalian yang maha tinggi”. Maksudnya Firaun
menganggap tidak ada Tuhan selainnya tetapi rakyatnya menyembah Tuhan
Musa dan membenarkan kata-kata yang dibawa oleh Nabi Musa (a.s.).
Bagaimanapun, menurut ar-Razi seperti yang dinukilkan oleh al-Maraghi
berhubung ayat 38, surah al-Qasas ini, pengakuan Firaun sebagai Tuhan tidak
bermaksud bahawa beliau mengaku dirinya sebagai pencipta langit, bumi, laut,
gunung dan manusia kerana baginya, setiap orang yang berakal sudah tentu
mengetahui hal itu. Tetapi yang dimaksudkan oleh beliau ialah kewajipan
menyembah kepadanya.
KESIMPULAN
Kitab Tafsir Anwar Baidhawi adalah sebuah kitab yang mengandungi banyak
kisah-kisah Isra’iliyyat. Apa yang dibincangkan dalam artikel ini hanyalah
sebahagian kecil daripadanya sahaja. Kisah-kisah Israiliyyat adalah kisah-kisah
yang bukan sahaja boleh merosakkan tafsiran yang sahih, malah ia juga boleh
mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam. Bagaimanapun, kitab Tafsir
Anwar Baidhawi ini adalah antara kitab tafsir dalam bahasa Melayu yang banyak
digunapakai oleh masyarakat Melayu dalam usaha mereka untuk memahami tafsir
kitab Allah (s.w.t.). Sebagai cadangan bagi menangani isu kekeliruan di kalangan
umat Islam, penjelasan atau tafsiran hendaklah disertakan sama ada di akhir
kisah-kisah tersebut bagi menyatakan bahawa apa yang diriwayatkan tersebut
adalah dari periwayatan Israiliyyat, atau yang paling baik pengarang tidak
menukilkan atau memasukkan kisah-kisah tersebut di dalam kitab-kitab tafsiran
mereka. Cadangan ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan oleh semua
pihak yang terlibat dalam pentafsiran kitab Allah (s.w.t.). Ini adalah kerana
golongan sasaran yang akan membaca kitab-kitab tafsir mereka adalah mungkin
terdiri daripada kalangan orang Melayu yang tidak mempunyai pengetahuan
mengenai Israiliyyat yang menyebabkan mereka menyangka bahawa itulah tafsiran
sebenar terhadap kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran.
RUJUKAN
Abdul Malik Abdul Karim Amrullah, Haji. 1999. Tafsir al-Azhar. Singapura: Pustaka
Nasional PTE LTD.
Abdullah Basmeih. 1980. Tafsir pimpinan al-Rahman. Kuala Lumpur: Darulfikr.
Israiliyyat dalam Kitab Tafsir Anwar Baidhawi 37
al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad b. Ismail. t.th. Matan al-Bukhari bi hasyiah al-
Sindi. Misr: Mitbaah Faisal Isa al-Babi al-Halabi.
al-Fansuri, Abd. Rauf bin Muhammad Ali. t.th. Tafsir Anwar al-Baidhawi. Thailand:
Maktabah Wa Mitbaah Muhammad Nahdi Wa Awladuh.
al-Maraghi, Ahmad Mustafa. 1974. Tafsir al-Maraghi. Beirut: Dar al-cArabiyyah.
Al-Qurtubi, Abi Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari. t.th. al-Jamic al-ahkam al-
Qur’an. Qaherah: Dar al-Bayan li al-Turath.
al-Suyuti, cAbdul Rahman Jalaluddin. 1983. al-Darul al-Mansur fi tafsir al-Qur’an .
Lubnan: Dar al-Fikr.
Ibn Kathir, Ismail bin Kathir al-Qurasyi al-Dimasyqi. 1970. Tafsir al-Qur’an al-cAzim.
Beirut: Dar al-Fikr.
Ibn Khaldun. Abd al-Rahman b. Khaldun al-Maghribi. 1968. Muqaddimah Ibn Khaldun.
Beirut: Dar Maktabah al-Hayat.
Mahayuddin Hj. Yahya. 1986. Ensiklopedia sejarah Islam. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Muhammad b. Muhammad Abu Shahbah. 1408H. al-Israiliyyat wa al-mawducat fi Kutub
al-tafsir. Qaherah: Maktabah al-Sunnah.
Muhammad Hussin al-Zahabi. 1990. al-Israiliyyat fi al-Tafsir wa al-Hadith. Qaherah:
Maktabah Wahbah.
Muhammad Hussin al-Zahabi. t.th. al-Tafsir wa al-mufassirun. Qaherah: Maktabah
Wahbah.
Rozali Adam. 1985. Al-Quran di antara tafsir dan Isra’iliyyat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Sayyid Qutb. 1994. Fi zilal al-Qur’an. Beirut: Dar al-Shuruq.
Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi
Selangor Darul Ehsan
Malaysia
mazib@pkrisc.cc.ukm.my

Islam merupakan agama yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan
manusia. Sejajar dengan itu, al-Quran diturunkan sebagai kitabullah yang
mempunyai panduan dan hidayah kepada seluruh umat manusia lengkap
dengan segala isi kandungannya sama ada dari segi akidah, ibadah,
perundangan, akhlak, sejarah dan sebagainya. al-Quran dinukilkan secara
mutawatir dan merupakan kitab yang sentiasa dipelihara isi kandungannya
oleh Allah (s.w.t.) daripada diseleweng oleh musuh Allah (s.w.t.). Namun begitu
tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah para pentafsir dahulu atau masa
kini memasukkan beberapa unsur-unsur Israiliyyat di dalam pentafsiran
mereka. Unsur ini banyak dikesan terutamanya dalam menggambarkan perihal
cerita-cerita para nabi dan rasul, dan faktor ini adalah antara penyebab
berlakunya kelemahan dalam Tafsir Ma’thur. Kajian ini cuba menganalisis
kitab tafsir Melayu lama karangan Syeikh Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-
Singkili, yang merupakan antara kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang
dipelajari di surau-surau serta pondok-pondok bukan sahaja di Indonesia
bahkan juga di Malaysia. Kajian ini akan menjelaskan tentang biodata
pengarang terlebih dahulu, dan kemudiannya diikuti dengan pengenalan
kitab dan terakhir ialah analisa terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat yang
terdapat di dalamnya. Selayaknya kitab ini diberi perhatian dan penumpuan
bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh riwayat-riwayat Israiliyyat
ataupun tidak. Semoga masyarakat yang cintakan al-Quran mampu mendalami
tafsiran-tafsirannya tanpa terpengaruh dengan riwayat-riwayat Israiliyyat
yang batil yang tidak berdasarkan kepada sanad yang sahih.

0 komentar:

 
Namablogkamu is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com | Distributed by Blogger Templates